PENYEDIAAN PORTFOLIO MURID-MURID PRASEKOLAH


Adalah menjadi salah satu daripada tugas guru prasekolah untuk membuat penilaian kepada setiap perkembangan kemajuan pembelajaran murid-murid prasekolah. Salah satu daripada penilaian dan pentaksiran yang boleh dijalankan adalah melalui penyimpanan maklumat dalam portfolio. Namun, sejauhmanakah guru-guru prasekolah melaksanakan penyediaan portfolio murid-murid prasekolah?

Kajian oleh Lihanna Borhan (2003) daripada Universiti Malaya tentang penilaian autentik dalam pendidikan awal kanak-kanak melalui portfolio ada menyatakan bahawa portfolio merupakan satu koleksi hasil kerja kanak-kanak yang sengaja dikumpulkan untuk menunjukkan kepada pelajar itu, dan juga orang lain, usaha dan kemajuannya dalam satu bidang tertentu atau dalam semua bidang (Arter & Spandel, 1992). Jelasnya, ia suatu rekod mengenai proses pembelajaran kanak-kanak. Hasil kerja kanak-kanak yang terpilih dikumpulkan secara sistematik bagi setiap kanak-kanak dalam satu jangkamasa tertentu(Anzanio dll., 1995). Namun ia bukan sekadar pengumpulan semua hasil kerja kanak-kanak,tetapi merupakan sampel hasil kerja di mana setiap item yang dimasukkan di dalam portfolio itu mempunyai tujuan dan nilai tersendiri dalam membuat penilaian terhadap perkembangankanak-kanak itu. Maka amalan menyimpan semua hasil kerja pelajar di dalam sebuah folder yang kemudiannya dikembalikan kepada ibu bapa selepas satu tempoh tertentu seperti yang dilakukan oleh banyak TADIKA tidak menepati pengisian dan tujuan portfolio. Portfolio bukan sekadar pengumpulan hasil kerja untuk menunjukkan kepada ibu bapa inilah yang dilakukan oleh anak mereka selama bersekolah itu, tetapi ia merupakan dokumentasi terpilih mengenai perkembangan dan pencapaian kanak-kanak tersebut. Untuk itu, portfolio perlulah mempunyai ciri berikut: berkait secara langsung dengan objektif pengajaran, merupakan sistem penilaian berterusan, bukan merupakan dokumen yang dikeluarkan oleh guru semata-mata, dan akhir sekali berasaskan kepada perlakuan murid yang menekankan pembelajaran bermakna (Hanson & Gilkerson, 1999). Portfolio mempunyai tujuan tersendiri iaitu untuk memahami dan menjelaskan hasil kerja kanak-kanak dan untuk berkomunikasi dengan ibubapa dan kanak-kanak itu sendiri mengenai kerja mereka (Arter & Paulson, 1991). Portfolio juga bertujuan untuk memotivasikan pelajar dan meningkatkan pembelajaran mereka melalui refleksi dan penilaian mereka sendiri terhadap kerja mereka, dan ia juga digunakan untuk menilai proses pemikiran kanak-kanak (Murphy & Smith, 1990). Ia menepati kerangka penilaian autentik kerana ia menilai pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak melalui tingkahlaku dan hasil kerja mereka dalam suasana bilik darjah seharian. Di samping itu, portfolio tidak bercanggah dengan garis panduan Amalan Bersesuaian Perkembangan (Bredekamp, 1987). Ia merupakan penilaian bercorak individu. Ia melihat perkembangan dan pembelajaran dalam konteks yang lebih menyeluruh dan tidak menekankan satu-satu aspek perkembangan tertentu sahaja. Ia juga melihat prestasi kanak-kanak dalam aktiviti seharian dan tidak meletakkan kanak-kanak dalam suasana yang berpotensi memberi tekanan dan mengganggu prestasi mereka seperti mana ujian. Portfolio merekodkan perkembangan dan pencapaian kejayaan kanak-kanak, bukan kegagalan (Katz, 1997; Meisels, 1995).

Manakala kajian oleh Surayah Zaidon tentang portfolio kanak-kanak prasekolah menyatakan Portfolio Kanak-kanak Prasekolah merupakan satu dokumentasi penting yang dapat menceritakan dan memerihalkan perkembangan kanak-kanak sepanjang mengikuti program prasekolah. Oleh sebab itu portfolio seharusnya digunakan sepenuhnya dalam menilai perkembangan yang dialami oleh kanak-kanak. Namun, didapati pelaksanaannya sekadar sebagai satu fail untuk mengumpul hasil kerja kanak-kanak. Ini merupakan satu kerugian yang besar bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga keseluruhan pelaksanaan program prasekolah. Pelaksanaan portfolio yang bertepatan adalah penting bagi menjamin perkembangan kanak-kanak dinilai dengan berkesan dan dapat membantu perkembangan kanak-kanak.

Untuk maklumat lanjut, sila klik link ini :
http://myais.fsktm.um.edu.my/5107/1/2.pdf
http://www.ipislam.edu.my/uploaded/file/surayahzaidon.pdf

0 comments:

Post a Comment